Tuesday, April 28, 2009

Etika Pemimpin Menurut Perspektif Islam

Definisi dan Konsep Etika
Istilah etika berasal dari perkataaan Yunani kuno iaitu “ethos” yang membawa erti kebiasaan, adat, akhlak, keperibadian dan watak.[1] Ethos juga membawa maksud adat kebiasaan.[2] Ia juga membawa maksud karakter.[3] Perkataan ethos juga terdapat dalam kamus bahasa inggeris yang bermaksud sifat moral dalam sesuatu bangsa.[4]
Dalam bahasa inggeris, ethic bermaksud akhlak, tatasusila, kesusilaan dan etika. Manakala ethics bermaksud prinsip akhlak, ketatasusilaan dan ilmu etika.[5] Menurut kamus lain, ethic bermaksud system of moral and principal ; rules of conduct yang bermaksud sistem prinsip akhlak; peraturan-peraturan perilaku. Manakala ethics pula bermaksud sains yang menumpukan perhatian kepada akhlak.[6]
Dalam bahasa Melayu, etika bermaksud kepercayaan ataupun tanggapan terhadap sesuatu perkara sama ada ianya benar, salah, baik atau buruk.[7] Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula, etika bermaksud ilmu berkaitan prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Ia juga melibatkan tanggungjawab dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Contohnya Etika Perkhidmatan Awam yang melibatkan kakitangan awam.[8]

Pembahagian Etika
Konsep etika secara umum terbahagi kepada dua jenis iaitu etika deskriptif dan normatif. Etika Deskriptif adalah disiplin yang membicarakan sistem moral yang dianuti individu atau golongan dan berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat atau keadaan. Ia dibicarakan dalam aspek yang luas.[9] Manakala Etika Normatif pula menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Ia juga mencadangkan sistem etika yang standard berpandukan sistem yang sedia ada, contohnya “Etika Pemimpin” dan “Etika Perubatan”. [10]


Konsep Etika Menurut Perspektif Islam
Etika dalam Islam adalah akhlak.[11]Ia merujuk kepada nilai akhlak atau prinsip moral yang berdasarkan al-Quran dan Hadith.[12]Etika Islam juga merujuk kepada nilai-nilai baik dan dengan melakukannya seseorang akan mendapat ganjaran pahala.[13] Selain itu ia juga dapat ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan yang mengajarkan mana baik dan mana yang buruk berdasarkan ajaran Allah dan RasulNya.[14] Kesemua ini terkandung didalam akhlak Islam.

Akhlak dan Pengertiannya
Perkataan akhlak berasal dari bahasa Arab ( خلق ) menjadi ( أخلاق ) yang membawa maksud budi pekerti.[15] Ia juga bermaksud perangai, tingkahlaku atau tabiat. Ia serasi dengan perkataan ( خلق ) iaitu kejadian. Dalam konteks ini, akhlak berfungsi sebagai medium dalam hubungan antara khāliq dan makhluk.[16] Seterusnya Prof. Dr. Ahmad Amin dalam bukunya Al-Akhlak menjelaskan bahawa akhlak adalah ilmu yang membezakan baik dan buruk serta menerangkan apa yang harus dibuat oleh manusia.[17]

Dalil-dalil Berkaitan Akhlak atau Etika Islam
Sumber bagi etika Islam atau akhlak terdiri daripada Al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafā’ al-Rāsyidīn dan Ijtihad.[18] Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran dan hadith yang menerangkan tentang akhlak Islam. Antaranya terkandung di dalam ayat yang menerangkan tentang akhlak Rasulullah s.a.w yang mulia. Firman Allah yang bermaksud;

“Sesungguhnya engkau (Ya Muhammad) mempunyai budi pekerti yang luhur”.
Surah al-Qalam (68): 4
Seterusnya Allah Taala telah menyatakan di dalam Al-Quran tentang keperibadian Rasulullah s.a.w di samping menggalakkan manusia agar mencontohi baginda. Ini dinyatakan di dalam ayat yang bermaksud;

“Sesungguhnya peribadi Rasulullah merupakan contoh (suri teladan) yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah dan hari kemudian dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.”
Surah al-Ahzab (33): 21

Manakala di dalam ayat yang lain pula Allah Taala ada menyatakan tentang keperluan manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan dan konsep ini terkandung di dalam konsep etika Islam. Perkara ini dinyatakan di dalam ayat yang berikut yang bermaksud;

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sekalipun seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan) mereka. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, dia akan melihat (balasannya) pula.”
Surah al-Zalzalah (99) : 7-8
Selain daripada dalil Al-Quran, terdapat juga dalil daripada hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi;

ءانما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Maksudnya:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan budi pekerti.”
[19]

Di dalam hadith diatas, Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawa antara tugas baginda sebagai rasul adalah untuk membimbing manusia supaya menjadi seorang yang mengamalkan akhlak yang mulia.

Ciri-ciri Etika Islam
Etika Islam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang membezakannya daripada etika menurut perspektif barat. Ciri-cirinya yang istimewa ini tidak terkandung di dalam etika mengikut falsafah barat. Antara ciri-cirinya adalah seperti berikut;
1) Indeks untuk menentukan etika diukur berdasarkan Al-Quran dan al- Sunnah dan bukannya akal semata-mata.[20]
2) Etika Islam bersifat universal dan komprehensif serta dapat diterima oleh seluruh manusia di setiap masa dan tempat termasuk dalam bidang politik dan kepimpinan.
3) Etika Islam berkait rapat dengan hukum halal dan haram, pahala dan dosa. Termasuk dalam konsep ibadah.
[21]
4) Ia tertakluk kepada konsep “matlamat tidak menghalalkan cara”.[22]

Konsep Baik dan Buruk menurut Etika Islam
Kebaikan adalah perbuatan yang berguna, berfaedah dan menepati roh syariat Islam. Di dalam al-Quran disebut sebagai ma’ruf.[23] Dalam ilmu akhlak ia dinamakan akhlak mahmudah. Keburukan pula adalah perbuatan yang sia-sia,tidak berfaedah dan melanggar syariat Islam.[24] Di dalam al-Quran ia disebut munkar . Manakala dalam ilmu akhlak ia dinamakan sebagai sifat mazmumah.

Definisi Pemimpin menurut Perspektif Islam

Pemimpin adalah ketua yang memimpin sesebuah organisasi atau masyarakat.[1] Ini kerana pemimpin adalah golongan yang terlibat dalam mentadbir dan memimpin rakyat melalui mekanisme politik. Terdapat beberapa istilah khusus yang digunakan teradap seseorang pemimpin dalam Islam seperti Khalifah, Amir al-Mukminin dan Imam. Khalifah dari segi bahasa adalah bermasud pengganti dan dari sudut pengertian luas adalah orang yang mengetuai dalam urusan kagamaan dan keduniaan sebagai lanjutan kepada tugas Rasulullah s.a.w.[2] Amir al-Mukminin pula adalah gelaran yang digunakan kepada ketua negara Islam.[3] Manakala perkataan Imam pula berasal dari perkataan ‘amma, ya’ummu yang bermaksud orang yang menjadi iktan atau memimpin sesuatu kaum.[4]

Dalam pengertian yang agak luas, perkataan imam yang merujuk kepada pemimpin boleh digunakan dalam pelbagai konteks termasuklah soal politik negara, sosial, kebudayaan dan bidang kehidupan yang lain. Imam yang dimaksudkan disini ialah pemimpin jemaah Muslimin yang mengawasi peraturan yang berdiri di atas sendi Islam.[5]
Di Malaysia dan negara Islam, secara realitinya ahli politik adalah seperti Presiden, Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan ahli politik di semua peringkat secara amnya.

Etika Pemimpin Menurut Perspektif Islam

Di dalam Islam, pemimpin adalah merupakan golongan diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk memimpin, namun mereka juga bertanggungjawab membimbing rakyat ke arah kebaikan. Tanpa mengamalkan etika yang terpuji, kepimpinan itu akan menjadi pincang dan tersasar dari landasan yang sebenar. Ajaran Islam telah menggariskan beberapa akhlak yang sesuai untuk diamalkan oleh para pemimpin di semua peringkat lapisan. Antara etika yang sesuai dikodkan sebagai etika pemimpin dalam konteks Islam adalah seperti adil, jujur, amanah, sabar dan sebagainya.

Pengamalan etika ini penting bagi menjamin kecemerlangan pentadbiran Islam dan keutuhan sesebuah institusi kepimpinan Islam.

Bersambung.................................


[1] Ahmad Redzuan Mohd Yunus (2001), Demokrasi dan Kepimpinan Islam, Suatu Perbandingan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd, h. 21.
[2] Nazmi Ghazali Azmi al-Naghazi(1992), Al-Balad al-Muntazar. Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., h. 15.
[3] Ibid., h.28.
[4] Al-Syaykh ‘Abdullah al-Bustani (1980), Al-Wafi Mu’jam al-Wasit li al-Lughah al-‘Arabiyyah. Beirut: Maktabah Lubnan, h. 19. Lihat juga Bharuddin Che Pa (Dr) (2000), “Ketua Negara Mengikut Konsep Islam dan Realiti Semasa di Malaysia”, Kertas Kerja Seminar Siasah Syar‘iyyah, 24 Nov 2000, h.3.
[5] Ibid, h.28.



[1] K Bertens (Dr) (1994), Etika. C.4. Jakarta:PT Gramedia Pustaka Utama, h.4.Lihat juga Hashim bin Musa (Dr) (2001),op.cit.,h.57
[2] H.Hamzah Ya’kub (Dr) (1991), Etika Islam: Pembinaan Akhlaqul Karimah. C.5. Bandung : c.v Diponegoro, H. 12.
[3] Tarcisius Chin (Dr) (2000) “Restoring A Better Standarad” in Voice of Management The Malaysian Challenge. Kuala Lumpur: Malaysian Institute of Management, h.180.
[4] Hawa Abdullah dan T.Vijayarani(2001), Kamus Dwibahasa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Edisi Kedua, h.409.
[5] Joyce M.Hawkins (2002), Kamus Dwibahasa Oxford. Shah Alam: Fajar Bakti, Edisi 3, halaman 130. Lihat Juga Hawa Abdullah et.al., op.cit.
[6] AS Hornby (200), Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay Dictionary. Editor, Asmah Omar, Shah Alam: Fajar Bakti, h.604.
[7] Sharifah Haayati Syed Ismail (Dr) (2000), “Budaya dan Etika Kerja Tempatan dan Pengaruhnya Terhadap Perubahan Hukum” (Kertas Kerja Seminar Hukum Islam Semasa III Peringkat Kebangasaan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 7-8 November 2000), h.3. Lihat juga Sharifah Hayati Syed Ismail (Dr) (2002), “Efektif Governan Berteraskan Etika Kerja Islam Di Malaysia” (Kertas Kerja Seminar Efektif Governan Menurut Perspektif Islam Peringkat Kebangsaan 2002 di Hotel Holiday Villa Subang Jaya, 29 Ogos 2002),h.3.
[8] Mohd Tap b. Salleh et.al (1991), Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara, h.20-21.
[9] Mohd Nasir Omar (1992), Falsafah Etika Barat dan Islam. C.2. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, h. 20-21.
[10] Ibid
[11] Mohd Nasir Omar (1992), op.cit.,h.69.
[12] Ibrahim Mamat (2001), op.cit.,h.22.
[13] Sharifah Hayaati Syed Ismail (Dr) (2000),op.cit.,h.6.
[14] H. Hamzah Ya’kub (Dr) (1991),0p.cit.,h.13.
[15] H. Rachmat Djatnika (Dr) (1985), Sistem Ethika Islam. Surabaya : Penerbit Pustaka Islam, h.25.
[16] H. Hamzah Ya’kub (Dr) (1991),0p.cit.,h.11.
[17] Ibid.h.12.
[18] Lukman Thaib (Dr) (1998), Politik menurut Perspektif Islam. Kajang: Synergymate Sdn. Bhd,h.42.
[19] H. Hamzah Ya’kub (Dr) (1991), op.cit.,h.11.
[20] Sharifah Hayaati Syed Ismail (Dr) (2000), op.cit. Lihat juga H.Hamzah Ya’Kub (Dr) (1991), op.cit., h.14 dan Ibrahim Mamat (2001), op.cit. h.22.
[21] Sharifah Hayaati Syed Ismail (Dr) (2000), op.cit.
[22] Ibid.
[23] Mohd Nasir Omar (1992), op.cit., h.80.
[24] H. Rachmat Djatnika (Dr) (1985), op.cit., h. 33.

No comments:

Post a Comment